Tuesday, December 9, 2008

Khalid Mohd dan Utusan Malaysia


BUKAN mudah untuk menjawat jawatan Ketua Pengarang sebuah akhbar pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia, sudah barang pasti cacian, kejian, ugutan dan tohmahan adalah ’santapan’ hariannya

Bukan itu saja, orang yang duduk di atas kerusi panas itu juga terpaksa melayan ‘karenah’ orang dalam kerajaan itu sendiri termasuklah orang UMNO yang juga pemegang saham majoriti dalam Utusan Malaysia.

Selain itu, jawatan Ketua Pengarang juga berkait rapat dengan tampuk pemerintahan negara. Selalunya berubah saja kepimpinan Malaysia, maka ‘possibility’ untuk bertukar tampuk kepimpinan dalam sesebuah organisasi media adalah tinggi.

Dalam hal ini, anak kelahiran Pulau Pinang, Datuk Khalid Mohd ternyata berjaya mengharungi kesemuanya.

Dia ternyata ‘kalis’ dengan sebarang cacian, tohmahan dan ugutan mereka yang tidak sehaluan dengan konsep editorial Utusan Malaysia;

Dia ternyata berjaya ‘melayan’ kehendak orang kerajaan dan UMNO sendiri yang seringkali memualkan dan menjangkalkan;

Dia juga berjaya duduk di atas kerusi panas itu walaupun tampuk pemerintahan tertinggi negara bertukar tangan

Terus terang, tidak ramai Ketua Pengarang media arus perdana yang berjaya mengharungi badai atau perkataan lebih tepat, tsunami yang maha hebat itu.

Ramai yang terkandas di tengah dan ramai juga terpaksa mengamalkan konsep ‘jilat buntot’ dalam usaha mengekalkan kedudukan mereka. Ternyata mereka yang memilih opsyen kedua juga sering menempuh kegagalan yang sama.

Dalam hal ini, salut harus diberikan kepada Khalid Mohd. Dia berjaya ‘menari’ dalam keributan dan dia juga bisa ‘menerjah’ dalam kelembutan.

Sepintas lalu, Khalid Mohd sebenarnya individu yang sangat digeruni dalam Utusan Malaysia. Namakan saja editor yang paling garang dengan wartawan, nescaya dia juga akan ‘terkulai’ jika berhadapan dengan Khalid Mohd.

Namun di luar pejabat, ternyata Khalid Mohd adalah orang yang 360 darjah berbeza. Hampir seminggu tidur dan makan dengan beliau sewaktu membuat laporan khas tsunami di Aceh bagaikan menceritakan segalanya.

Khalid Mohd juga adalah seorang yang cukup ‘low profile’ berbanding segelintir Ketua Pengarang akhbar lain yang ‘flamboyant’ dan sentiasa mahu wajah mereka terpampang di akhbar (walaupun cuma majlis serah jersey bola). Sebab itu aku tidak hairan jika ramai yang tidak tahu mengenai Khalid Mohd.

Yang agak merimaskan aku adalah penampilannya yang terlalu simple. Beliau hanya memakai tie dan berkot kalau urusan yang perlu dihadirinya benar-benar memerlukan ‘dres code’ yang rasmi seperti menemuramah Perdana Menteri atau urusan rasmi kerajaan.

Namun di sebalik semua itu, Khalid juga terpaksa membayar harga yang tinggi apabila ramai orang di luar termasuk dalam Utusan Malaysia sendiri yang tidak menyenanginya. Gaya pengurusannya sering menimbulkan kontroversi, gaya kempimpinannya sering menimbulkan ketegangan dan gaya penulisannya pula sering menimbulkan pertikaian.

Biar apapun, Khalid Mohd ternyata tidak pernah megah dek puji, mati dek keji. Hanya sejarah akan menilai apa yang telah dilakukannya.

Selamat bersara Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Khalid Mohd.

SAK: Melihat Khalid Mohd sebagai seorang manusia.

No comments: