Tuesday, December 9, 2008

Bersama Abu Bakar Ba'syir








ramai benar yang nak tahu kisah saya dan Abu Bakar Basyir, di sini saya coretkan sebahagian daripada pengalaman saya dengannya.
Tentang isi perbualan kami, takpayahla, actually takde yg sensitif pun…biasa2 je, cukupla saya katakan yg dia ni memang keras hati orangnya.

Yang lain tu biarlah rahsia (cewah, mcm lagu Siti Nurhaliza lak)
SAYA kembali semula ke Indonesia baru-baru ini untuk membuat liputan gempa bumi yang meragut nyawa lebih 3,000 orang penduduk di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY).

Ini merupakan tugasan ketiga saya ke sana selepas dihantar membuat liputan tsunami di Aceh dan gempa bumi Pulau Nias, Sumatera Utara.

Jika sebelum ini tulisan saya lebih kepada menceritakan keadaan pasca bencana, kini saya ingin berkongsi pengalaman mengenai satu tugasan yang bagi saya dan rakan jurugambar, Mohd. Noor Amin cukup mencabar.

Semuanya bermula sewaktu kami berdua sedang `belasah’ kopi Jawa dan pisang goreng berkeju di sebuah warung buruk di pinggir kota Yogyakarta.

Sambil menikmati hidangan ala-kadar itu, saya tiba-tiba ternampak berita kecil yang termuat di dalam akhbar paling berpengaruh di Indonesia, Kompas.

Bunyinya : ABU BAKAR BASYIR DIBEBASKAN DARI PENJARA CIPINANG ESOK.

Saya tiba-tiba terfikir, alangkah menariknya kalau kami dapat menemu bual pemimpin agama paling kontroversi dan paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat kerana disyaki menjadi dalang dalam banyak siri pengeboman di rantau ini.

Tanpa melengahkan masa, saya terus menghubungi Pengarang Berita di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangannya.Beliau menyambut baik cadangan tersebut dan memberi `lampu hijau’ untuk kami meneruskan misi berkenaan dengan syarat kami terlebih dahulu memberi pertimbangan yang sewajarnya daripada aspek keselamatan.

Bila dapat saja `lampu hijau’, kami terus menyusun strategi dan sasaran pertama kami ialah Ketua Pengarang Akhbar Kedaulatan Rakyat, Bapak Octo Lampito.Kami memilih Octo kerana beliau sangat dihormati di Yogyakarta dan ini sudah tentu memberi kelebihan dalam usaha kami menjejaki Abu Bakar.

Ternyata strategi `serkap jarang’ kami berhasil!Jangan ditanya apakah rahsia kami `mengayat’ Octo, yang pasti beliau sangat senang dengan kami berdua, bukan itu saja, malah beliau turut mengarahkan seorang wartawannya untuk membantu kami menemui Abu Bakar.

Sebaik saja Abu Bakar dibebaskan, kami menyewa sebuah van dan terus menuju ke Rumah Sakit Umum Muhammadiyah (RSUM), Solo yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Yogyakarta.Ini kerana Abu Bakar dijadualkan singgah di situ untuk menjalani pemeriksaan sebelum pulang ke rumahnya.

Kami tiba di RSUM tepat pukul 9 malam namun ketika itu Abu Bakar belum sampai, maklumlah perjalanan dari Penjara Cipinang, Jakarta ke Solo mengambil masa hampir 12 jam.Ketika itu ribuan penyokong Abu Bakar yang siap dengan berpakaian ala-ninja dan separa tentera sudah pun berhimpun di perkarangan RSUM untuk menyambut kepulangan `wira’ mereka.

Teriakan Allahu Akbar bergema di sana sini.Suasana tidak ubah seperti waktu reformasi di Kuala Lumpur suatu ketika dulu.Tepat pukul 11 malam, Abu Bakar dan rombongannya tiba dengan sebuah kenderaan MPV, Toyota Alphard berwarna hitam metalik.

Suasana menjadi semakin huru-hara, malah anggota polis yang ada bagaikan `patung’ kerana tidak mampu lagi membendung asakan ribuan penyokong Abu Bakar yang mahu memeluk dan bersalaman dengan pemimpin kesayangan mereka.

Mohd. Noor terpaksa `surrender’ lebih awal apabila tubuhnya terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan kerana ditolak oleh penyokong Abu Bakar.Malah saya yang `comel’ ini pun hampir tersembam ke tanah kerana dirempuh ribuan orang yang sudah tidak dapat lagi mengawal emosi mereka.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang rakan wartawan dari TransTV Indonesia yang kebetulan mengenali Mohd. Noor telah mengajak kami ke rumah Abu Bakar di Pesantren (pondok pengajian agama) Al-Mukmin, Ngruki yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari RSUM.

Dengan pertolongannya jugalah, kami akhirnya dapat `merempuh’ masuk ke pesantren itu dan mendengar pidato ulung yang disampaikan Abu Bakar kepada lebih 3,000 pengikutnya pada malam itu.Keesokan harinya kami kembali semula ke Yogyakarta.Kami belum puas, kami mahu menemu bualnya secara eksklusif!

Strategi seterusnya diatur, kali ini melalui seorang `sahabat’, kami dapat menghubungi orang kanan Abu Bakar yang dikenali sebagi Ustaz Fikri.Bayangkan hampir seminggu lamanya kami berbalas SMS dengan Ustaz Fikri bagi mendapatkan persetujuannya untuk bertemu dengan Abu Bakar sehingga kami sendiri hampir putus asa.

Jawapan SMS Ustaz Fikri mudah saja:“Ustaz Bakar Basyir belum mahu ketemu sesiapa pun termasuk dari CNN mau pun BBC”.Namun betullah kata orang tua-tua, sabar itu ada hikmahnya.Ketika kami sedang berkemas-kemas untuk pulang ke tanah air, tiba-tiba saya menerima SMS dari Ustaz Fikri yang menyatakan kesediaan Abu Bakar untuk menemui kami berdua.

Tanpa melengahkan masa, kami terus menemui Abu Bakar yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu rumahnya.Sebelum pertemuan itu berlangsung, identiti kami telah diperiksa satu-persatu oleh pengikutnya, nasib baik kami berdua ada membawa pas Bernama dan Utusan bersama-sama.

Malah sepanjang temu bual itu dilangsungkan, orang-orangnya merakamkan perbualan kami dengan menggunakan dua buah kamera video, suasana di dalam rumah Abu Bakar itu kini tak ubah seperti dalam studio mini RTM.Dek kerana terlalu banyak soalan yang dikemukakan, pertemuan yang pada mulanya dirancang berlangsung sekitar 15 minit itu berlanjutan sehingga hampir satu jam.

Kami hanya berhenti bila ada sekumpulan ahli Majlis Ulama Indonesia datang menemuinya.Keesokannya kami pulang ke tanah air dengan perasaan puas dan gembira kerana misi mustahil kami akhirnya berjaya dilaksanakan tanpa banyak masalah.

Cuma kami sedikit hampa kerana wawancara eksklusif dengan Abu Bakar itu tidak dapat disiarkan untuk tatapan pembaca Utusan Malaysia atas sebab-sebab tertentu, ia bagaimanapun bukanlah satu masalah besar untuk dipatuhi.Mungkin ada kebaikan dan hikmah di sebalik semua itu.

Untuk pengetahuan anda, Utusan Malaysia merupakan satu-satunya akhbar yang berpeluang menemu bual Abu Bakar secara eksklusif semenjak hari pertama pembebasannya.Bangga? Tidak sekali, cuma kalau anda tanya apa perasaan kami ketika ini, jawapannya hanya satu, kami puas.

Kami puas kerana dapat melaksanakan tugas yang diberikan ini biarpun cabarannya bukan mudah sehingga adakalanya menyesakkan nafas yang menghidu, menyakitkan dada yang menyedut..

No comments: